Putrajaya Mungkin Jual Saham Petronas Kepada Sabah, Sarawak, Kata PM

r Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, ia tidak mungkin menaikkan royalti minyak dariapda 5% kepada 20% untuk Sabah dan Sarawak kerana pembayaran lebih tinggi akan ‘membunuh’ Petronas. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mempertimbangkan penjualan saham Petronas kepada Sabah dan Sarawak kerana tidak mampu memenuhi tuntutan 20% royalti yang dibayar syarikat minyak negara itu.

“Petronas ialah sebuah syarikat yang sangat besar, ia bergantung kepada berapa banyak (negeri itu) boleh bayar juga,” kata perdana menteri kepada Reuters.

Sabah dan Sarawak memiliki lebih 60% rizab minyak negara.

Mahathir berkata, kerajaan juga boleh melepaskan kepentingannya dalam unit lebih kecil Petronas.

“Apa yang kita perlukan ialah mengurangkan pembabitan kita, jumlah saham yang kita miliki, untuk mengumpul sedikit dana bagi diri kita.”

Pada 7 Dis lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Wan Zulkiflee Wan Ariffin dilaporkan berkata, ia tidak dapat membayar 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak dan gas kerana kos pengeluaran tinggi dan margin keuntungan rendah.

Katanya, Petronas yang merupakan sumber pendapatan terbesar Putrajaya – hanya menjana 3.7% keuntungan daripada pengeluaran minyak tempatan, dengan 70% hasil minyak digunakan untuk kos pengeluaran, yang mana ia lebih tinggi jika membabitkan pengeluaran di perairan sangat dalam.

Pakatan Harapan menerusi manifesto pilihan raya umum tahun lalu berjanji akan menaikkan royalti minyak yang dibayar kepada Sabah dan Sarawak daripada 5% kepada 20%.

Mahathir dilaporkan berkata, ia tidak mungkin menaikkan kadar royalti itu kerana pembayaran lebih tinggi akan “membunuh” syarikat berkenaan.