Kelar isteri dan bayi tiga bulan, lelaki tular tunggang motosikal dalam keadaan bogel direman

berita terkini

SEORANG lelaki yang tular melarikan diri dengan menunggang motosikal dalam keadaan bogel selepas dipercayai mengelar isteri dan bayi lelakinya di Kampung Bakar Batu semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Nur Izzaty Muhammad Zahari sehingga Isnin ini selepas permohonan dikemuka Polis Diraja Malaysia (PDRM), lapor Berita Harian.

Suspek lelaki itu tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru memakai baju lokap berwarna oren pada pukul 9 pagi dengan dikawal ketat pihak polis.

Suspek yang bekerja sebagai pencuci kapal ditahan polis petang semalam selepas gambar dan videonya menunggang motosikal dalam keadaan bogel tular di media sosial.

Dia yang berusia 25 tahun disyaki membunuh isterinya, 26 tahun dan anak lelaki, berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kematian dua beranak itu pada jam 12.42 tengah hari.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah hari. Polis bertindak atas maklumat dan berjaya membuat tangkapan ke atas suspek.

“Pada jam 2.45 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan suspek di kawasan Permas Jaya,” katanya.

Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging dan sebuah motosikal berwarna merah ketika tangkapan dibuat.

Jelas Raub lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah isteri dan bayi lelaki suspek dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu sebelum tengah hari ini.

Sumber: Berita Harian