KUALA LUMPUR – Industri seni tempatan kini terus rancak dengan penganjuran pelbagai konsert dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Terus menyemarakkan dunia muzik tanah air ialah konsert Hausboom Music 2023 yang kini sudah memasuki tahun ketiga penganjuran.
Bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Selangor, konsert Hausboom Music 2023 turut menampilkan 35 penghibur hebat tempatan termasuk dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.
Antara nama besar bakal dihimpunkan pada acara tersebut ialah Search, Ella, Joe Flizzow, Datuk M. Nasir, Dolla dan Hujan.
Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier berkata, penganjuran konsert muzik pada tahun ini boleh disifatkan sebagai konsert termahal yang pernah dianjurkannya.
“Sejak dianjurkan beberapa tahun lalu, sambutan sangat menakjubkan dan perkara itu membuatkan kami lebih bersemangat untuk meneruskan legasi.
“Kali ini, kami bakal mengadakan dalam skala lebih besar dengan pembabitan sehingga 35 penghibur untuk dua hari konsert iaitu 9 dan 10 September depan di Sepang,” katanya pada sidang akhbar pengumuman konsert, baru-baru ini.
Bagi pembelian tiket berharga RM199 (General), RM359 (Rockzone) dan RM1,200 (VVIP), boleh layari www.ticket2u.com.my atau layari laman web rasmi Hausboom bagi pembelian tiket secara ansuran di https://shop.hausboom.com.
Sumber : Kosmo