KUALA LUMPUR, 31 Okt :
Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah destinasi tepat buat pemain tempatan yang memburu kejayaan serta mempunyai impian besar sebagai seorang pemain bola sepak, titah pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pemangku Raja Johor itu mengakui terdapat segelintir pihak cuba menimbulkan persepsi buruk dengan menakut-nakutkan mengenai minit permainan terhad seorang pemain jika bersama JDT yang akhirnya akan ‘membunuh’ karier mereka.
Namun, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menegaskan setiap pemain yang dilamar skuad Harimau Selatan itu perlu bekerja keras untuk mendapatkan minit permainan di atas padang selain harus membuktikan kemampuan sebelum layak bergelar pemain skuad utama.
“Kalau nak main setiap perlawanan pergi PKNP FC dan Felda United. Anda akan dapat kesebelasan pertama bola sepak setiap perlawanan,” titah baginda kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pada Rabu.
“Tetapi jika anda mahu menjadi juara, sertailah JDT. Peluang tinggi untuk menang, peluang tinggi untuk menambah lagi trofi dalam almari awak dan pada masa yang sama awak mendapat pendedahan yang baik bermain dalam ACL (Liga Juara Asia AFC).
“Untuk berada dalam kelab bola sepak profesional, awak perlu berjuang untuk mendapatkannya. Itu yang menjadikannya seorang pemain bola profesional. Tetapi kalau sebagai pemain dan tak nak bertarung untuk dapatkan tempat jadi awak tidak akan menjadi baik, pasal awak (pemain) akan berada dalam kedudukan selesa,” titah Baginda.
Tunku Ismail menjadikan beberapa pemain muda yang kini bersama skuad kebangsaan antaranya penyerang negara Muhammad Safawi Rasid sebagai contoh bagaimana JDT memberi peluang kepada pemain terutama pemain sedang meningkat naik.
Baginda turut menjadikan pemain tengah, Muhammad Afiq Fazail sebagai contoh tepat seseorang pemain berpotensi mengalami peningkatan prestasi hasil pengalaman beraksi bersama JDT.
“Saya bawa Safawi ketika beliau berusia 19 tahun dan kini beliau bermain untuk setiap perlawanan… Adam Nor Azlin (pertahanan) kini mendahului para senior di sana dan bermain dalam ACL… Safawi Rasid dan Akhyar (Muhammad Akhyar Abdul Rashid) bermain dalam ACL.
“Dulu ada orang kenal Afiq Fazail?… tetapi dia bermain untuk tempatnya… dekat tengah tu kita ada Natxo (Natxo Insa), kita ada Harris (Hariss Harun) dan yang lain juga tetapi kerana dia bertarung untuk tempat dalam kesebelasan utama, hari ini dia menjadi semakin sangat baik hingga dipanggil peringkat kebangsaan,” titah Baginda.
JDT telah meraih keseluruhan 13 gelaran di peringkat domestik dan Asia sejak 2013 dengan pencapaian tertinggi menjuarai Piala AFC 2015 selain melakar rekod gemilang mempertahankan kejuaraan Liga Super sebanyak enam kali berturut-turut.
Selain rekod kejuaraan, JDT juga adalah pasukan tempatan yang meletakkan kepentingan kemudahan latihan dan pemulihan mengikut prosedur sains sukan sebagai keutamaan.