JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret hari ini, Mendakwah Seorang ibu tunggal atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berusia dua tahun 10 bulan, antara 5 hingga 11 Januari lalu.
Tertuduh, Nurul Shamira Mazlan, 22, yang berbaju kurung merah, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Rashidah Baharom.
Nurul Shamira yang tidak bekerja, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Nur Shahana Abdus Quddus di sebuah apartmen di Taman Kempas Indah, antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari, antara 5 hingga 11 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Benedict Choong Kai Qi, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Norazihan Adnan, Muhammad Ashraff Mohd Diah dan Jack Sumatra.
Terdahulu, tertuduh dilihat beberapa kali mengesat air mata ketika duduk di tepi kandang tertuduh.
Sementara itu, Muhammad Ashraff memaklumkan bahawa teman lelaki anak guamnya yang berusia 33 tahun, dilepaskan bawah jaminan mahkamah dan akan dipanggil untuk menjadi saksi dalam kes berkenaan.
Majistret kemudian menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh sebutan kedua kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan teman lelakinya, 13 Januari lalu.
Mangsa meninggal dunia kira-kira jam 12.10 tengah hari ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), dekat sini, berikutan masalah jangkitan kuman.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, dipetik sebagai berkata doktor yang merawat kanak-kanak itu mengesyaki ada unsur penderaan berdasarkan kecederaan fizikal dialami mangsa.
Mohd Taib berkata, hasil pemeriksaan ke atas fizikal kanak-kanak itu mendapati ada kesan lebam di tangan kiri dan kanan serta bahagian perut, selain kesan gigitan di tangan kiri dan kanan mangsa.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada bahagian tengkorak serta usus akibat hentakan objek tumpul.
Sumber – berita Harian