Rogol Dan Amang Seksual Dua Anak Kandung, ‘Cleaner’ Dipenjara 702 Tahun Serta 234 Sebatan

Foto : Kosmopolitan

MUAR – Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 702 tahun dan 234 sebatan atas 19 pertuduhan merogol dan 11 tuduhan amang seksual terhadap dua anak kandungnya sejak enam tahun lalu.

Tertuduh berusia 53 tahun itu mengaku bersalah sejurus kesemua tuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Muar.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ke-19, pekerja pembersihan itu dituduh melakukan perbuatan tersebut terhadap kedua-dua anak perempuannya ketika mereka berusia sembilan dan 10 tahun.

Kejadian berlaku sejak tahun 2017 dan kali terakhir pada 9 Julai lalu di dua rumah berbeza di Muar. 

Lelaki itu juga didakwa melakukan perbuatan amang seksual ke atas kedua-dua mangsa di lokasi dan tarikh sama, menurut pertuduhan ke-21 hingga 30.

Hakim Abu Manat mengarahkan hukuman terhadap tertuduh dijalankan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap, 10 Julai lalu. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Kesalahan Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 16(1) akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.