Pemain bola sepak ditahan kes rogol peniaga tudung di PCB

SEORANG pemain bola sepak liga tanah air ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan remaja perempuan Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, Kelantan selepas menerima laporan yang dibuat oleh mangsa yang berusia 18 tahun, lapor Berita Harian.

“Dalam laporan yang dibuat, mangsa yang juga seorang jurujual kain dan tudung berada di rumahnya di Kampung Kijang, Jalan PCB, keluar dari bilik untuk membuang sampah pada jam 12.30 tengah hari Ahad lalu.

“Mangsa mendakwa didatangi suspek yang tiba-tiba menolaknya dari belakang sebelum mengheretnya ke katil dalam bilik tidur.

“Mangsa cuba melawan dan menjerit namun tiada ahli keluarga di rumah ketika kejadian dan remaja perempuan itu mendakwa dia dirogol tanpa kerelaan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat satu kesan koyakan baharu.

Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan dan temu bual yang dijalankan, mangsa mengenali suspek yang juga pelanggan tetap di kedai makan milik emaknya.

Memetik laporan Berita Harian lagi, mangsa mendakwa pernah menerima mesej menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ yang berbaur lucah serta gambar lucah daripada suspek tahun lalu ketika masih bersekolah.

“Suspek ditahan pada hari sama di Kampung Kijang, Jalan PCB dan semakan yang dibuat mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Polis turut merampas baju dan seluar yang digunakan oleh suspek ketika jenayah dilakukan.

“Suspek direman empat hari sehingga 2 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Sumber: Berita Harian