TAIPING – Seorang wanita dan teman leakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Taiping, hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki yang juga anak wanita terbabit dengan cara mendera hingga menyebabkan kematiannya, hujung bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin, 36, dan kekasihnya Izuhaizad Ismail, 37, berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Hasiffaidhi Mohamad Jeffry, 9. di Taman Panglima, Assam Kumbang, di sini, antara 10.30 pagi 29 Julai lalu hingga 10.52 pagi 30 Julai lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dihukum mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemukan meninggal dunia dengan kesan lebam pada seluruh badan dipercayai akibat didera di sebuah rumah di Taman Panglima, Assam Kumbang, di sini, pada 30 Julai lalu.