SEORANG lelaki di Bangladesh ditahan polis selama lapan jam selepas didakwa terlalu hodoh untuk menjadi penyanyi.
Dia yang juga merupakan seorang penyanyi dan pelakon juga dipaksa untuk menandatangani notis permohonan maaf kepada masyarakat.
Malah, lelaki yang dikenali sebagai Hero Alom itu didesak untuk berhenti menyanyi kerana kesumbangan suaranya.
Memetik laporan Kosmo, Alom ditahan pada pukul 6 pagi (waktu tempatan) Khamis lalu.

“Semua orang secara rawak bertanyakan soalan kepada saya dan saya terpaksa menjawab tanpa henti.
“Seseorang kemudian tiba-tiba mencengkam rambut saya dan bertanya sama ada saya mempunyai wajah seperti ‘hero’ (wira),” kata Alom kepada laman berita India Today.
Alom dikatakan ditahan kerana pihak berkuasa didakwa naik berang terhadap rakaman Alom yang menyanyikan lagu klasik oleh pemenang Anugerah Nobel, Rabindranath Tagore dan penyair negara, Kazi Nazrul Islam.

Tindakan menahannya selepas polis dikatakan menerima banyak aduan mengenai nyanyian Alom.
Penyanyi itu kemudian memohon maaf atas lagu-lagu tersebut.
Dia juga menyesal kerana memakai pakaian seragam polis dalam klip videonya.
“Dia mengubah sepenuhnya gaya tradisional nyanyian lagu itu namun kini, memberi jaminan kepada kami bahawa tidak akan mengulangi perkara itu,” kata detektif Dhaka, Harun ur Rashid.
Alom yang mempunyai hampir dua juta pengikut di Facebook menyiarkan video muzik baharu selepas kejadian itu yang menunjukkan dia berada di sebalik jeriji besi dan hampir dihukum bunuh.
“Ini adalah Bangladesh yang merdeka. Jika saya tidak boleh bercakap, menyanyi atau melakukan aktiviti riadah, maka saya rasa hak saya sedang diragut,” katanya.
Sumber: Kosmo