Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau Dan Isterinya Bercerai

Foto : People

OTTAWA – Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan isterinya Sophie mengumumkan perceraian mereka pada Rabu selepas 18 tahun berkahwin.

Justin Trudeau, 51, dan pasangannya yang berusia 48 tahun mengumumkan berita itu di Instagram pada Rabu, mengakui keputusan itu dibuat selepas melalui perbincangan yang sukar.

“Hai semua, Sophie dan saya ingin berkongsi berita bahawa selepas banyak perbualan yang bermakna dan sukar, kami telah membuat keputusan untuk berpisah.

“Seperti biasa, kami kekal sebagai keluarga yang rapat dengan kasih sayang dan rasa hormat yang mendalam antara satu sama lain dan untuk semua yang kami bina dan akan terus bina.

“Demi kesejahteraan anak-anak kami, kami meminta anda menghormati privasi kami dan mereka. Terima kasih.”

Pasukan perundangan Justin menambah bekas pasangan itu mengambil langkah undang-undang dalam perpisahan mereka.

“Mereka telah berusaha untuk memastikan semua langkah undang-undang dan etika berhubung dengan keputusan berpisah telah diambil dan akan terus berbuat demikian pada masa hadapan.

“Mereka kekal sebagai keluarga rapat dan Sophie serta Perdana Menteri memberi tumpuan untuk membesarkan anak-anak mereka dalam persekitaran yang selamat, penyayang dan bekerjasama.

“Mereka sekeluarga akan bersama-sama bercuti, mulai minggu depan.”

Justin dan Sophie berkahwin pada 28 Mei 2005 dan mempunyai tiga anak bersama, anak lelaki Xavier dan Hadrien, manakala anak perempuan bernama Ella-Grace.

Bekas pasangan itu pertama kali bertemu semasa kanak-kanak dan membesar di Montreal.

Sophie adalah rakan sekelas dan rakan kepada adik bongsu Justin, Michel.

Mereka bersatu semula pada tahun 2003 selepas Sophie ditugaskan sebagai hos bersama Justin untuk perlawanan bola amal dan mereka berkahwin dalam upacara Roman Katolik.