WELLINGTON – New Zealand menggesa pembebasan seorang juruterbang warganya yang diculik enam bulan lalu oleh pemisah Papua di Indonesia.
Perdana Menteri Chris Hipkins berkata Phillip Mehrtens bekerja untuk syarikat penerbangan Indonesia Susi Air apabila dia diculik oleh pemberontak di lapangan terbang Nduga pada Februari.
“Philip adalah bapa, suami, abang dan anak yang sangat disayangi,” kata perdana menteri New Zealand kepada pemberita di Auckland.
“Saya ingin mendesak, sekali lagi, mereka yang menahan Philip supaya segera melepaskannya.
“Tiada kewajaran sama sekali untuk menahannya sebagai tebusan.”
Hipkins berkata Kementerian Luar Negeri mengetuai respons New Zealand dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia.
Perdana Menteri juga berkata beliau telah bercakap dengan keluarga Mehrtens untuk meyakinkan mereka bahawa kerajaan melakukan segala yang boleh untuk membawa pulang Philip.
“Saya akui ini adalah masa yang amat mencabar bagi mereka,” katanya.
“Keselamatan dan kesejahteraan Philip tetap menjadi keutamaan kami.”
Pemberontak yang menculik Mehrtens adalah daripada kumpulan pemberontak Tentera Pembebasan Kebangsaan Papua Barat (TPNPB).
Mei lalu, Kumpulan pemberontak tersebut mengancam untuk menembak Mehrtens, sekiranya Indonesia enggan memenuhi tuntutan untuk memulakan rundingan kemerdekaan dalam tempoh dua bulan.
Menurut tentera Indonesia, pemisah bersenjata menyerang hendap tentera yang mencari Mehrtens pada April, membunuh sekurang-kurangnya seorang.
Papua adalah bekas tanah jajahan Belanda yang mengisytiharkan dirinya merdeka pada tahun 1961. Tetapi negara jiran Indonesia menguasai dua tahun kemudian, menjanjikan referendum kemerdekaan.
Undian berikutnya yang menyokong Papua untuk kekal sebagai sebahagian daripada Indonesia dianggap sebagai satu penipuan. – AFP