Lelaki Siam ancam rogol anak PM Thailand dipenjara 5 tahun

Lelaki Siam ancam rogol anak PM Thailand dipenjara 5 tahun

GARA-gara memuat naik ciapan di laman Twitter yang berbaur ugutan rogol terhadap anak kembar perempuan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, seorang lelaki di Thailand dijatuhi hukuman penjara lima tahun tanpa parol.

Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan mendapati lelaki itu bersalah kerana mengugut melakukan jenayah dan melanggar Akta Jenayah Komputer berhubung kenyataannya yang disiarkan pada Mac tahun lalu, lapor Kosmo

Pada Mac 2021, lelaki bernama Wuttichai itu menulis ciapan di akaun Twitternya berbunyi: “Jika sesiapa menjumpai anak perempuan Prayut di mana-mana, jangan lupa untuk merogol mereka.”

Prayut memfailkan kes terhadap penulis ciapan itu di Balai Polis Nang Loeng,  Bangkok pada 23 Mac tahun lepas kerana melanggar kedua-dua Akta Jenayah Komputer dan Seksyen 85 Kanun Keseksaan Thailand mengenai Menerbitkan Jenayah.

Pada mulanya, Wuttichai memberitahu polis bahawa  akaun Twitter miliknya dia digodam dan ciapan itu bukan hasil tulisannya.

Polis yang menggeledah kediaman Wuttichai dan memeriksa peranti komputer ribanya bagaimanapun tidak menemui bukti bahawa dia telah digodam.

Dia akhirnya mengaku melakukan jenayah itu dan mahkamah menjatuhkan hukuman selepas lebih setahun ciapan itu disiarkan.

Mahkamah pada mulanya menjatuhkan hukuman penjara  7.5 tahun tetapi memandangkan ini adalah kesalahan jenyahanya yang pertama, pihak berkuasa bersetuju mengurangkan hukuman Wuttichai sebanyak 2.5 tahun.

Sumber: Kosmo