BANGKOK – Anak lelaki kepada pelakon Sepanyol Rodolfo Sancho Aguirre ditahan di Thailand berhubung kematian dan pemotongan anggota badan seorang lelaki Colombia di pulau pelancongan Koh Phangan.
Daniel Sancho Bronchal hadir di mahkamah pada Isnin ketika polis memohon untuk melanjutkan remannya untuk siasatan, kata Mejar Jeneral Polis Saranyu Chamnanrat kepada Reuters.
Sancho pada Ahad membawa polis ke tujuh lokasi, termasuk pantai di mana dia dituduh membuang beg plastik mengandungi anggota badan seorang lelaki pakar bedah Colombia Edwin Arrieta Arteaga, 44.
Sancho, 29, didakwa melakukan pembunuhan terancang dan menyembunyikan serta mengalihkan anggota badan bagi menutup kematian atau punca kematian mangsa, kata Saranyu.
Anak lelaki kepada pelakon terkenal Rodolfo Sancho yang membintangi ‘El Ministerio del Tiempo’ dan pelakon Silvia Bronchalo, Daniel Sancho bekerja sebagai tukang masak dan sedang melawat Thailand untuk bercuti, lapor media.
Keluarganya pada Ahad mengeluarkan kenyataan meminta ‘penghormatan maksimum, baik untuk Daniel Sancho sendiri dan untuk seluruh keluarga, dalam saat-saat rumit ini’.
Sancho ditahan sejurus selepas cebisan mayat ditemui di tapak pelupusan sampah di Koh Phangan, sebuah pulau yang terkenal dengan pelancong untuk pesta ‘bulan penuh’.
Polis berkata Sancho telah mengaku melakukan jenayah itu.
Polis berkata ujian DNA ke atas mayat itu membuktikan ia milik Arrieta, sambil menambah mereka mempunyai bukti lain terhadap Sancho.
Rakaman CCTV yang ditunjukkan oleh penyiar tempatan ThaiPBS menunjukkan Sancho dan Arrieta menaiki motosikal bersama beberapa hari sebelum mayat ditemui.
Polis Thailand berkata, siasatan sedang dijalankan ketika pihak berkuasa meneruskan usaha mencari sisa mayat Arrieta. – REUTERS